The Secretariat,
Borneo International Kite Festival,
Bintulu Development Authority (BDA)

No.1, Tanjung Kidurong Road,
P. O 55,
97007 Bintulu.
Tel. No: 086-332011
Fax No: 086-336066 / 086-330099
Hotline: 086-332277
E-mail: bda@bda.gov.my
Website: http://www.bda.gov.my

BDA Copyrights ©

 

 

Press Release

Jepun negara terbesar di festival layang-layang

Friday, April 3rd, 2009    Oleh Abang Ismail Abang Su’ud
 

 

Penganjur janjikan kelainan pada festival tahun ini yang dijangka disertai empat buah negara baru

BINTULU: Jepun akan menjadi negara terbesar menyertai Festival Layang-layang Antarabangsa Borneo Bintulu di tapak lapangan terbang lama di sini dari 2 hingga 9 Ogos depan.

Pengerusi bersama festival merangkap Residen Bintulu Dr Razali Abon berkata, festival tahun ini akan menampilkan kelainan dalam senarai aktivitinya dengan pertunjukan ‘Edo Kite’ dari Jepun dijangka menjadi tumpuan utama.

“Jepun akan menghantar pesertanya dari empat wilayah iaitu Tokyo, Yokaichi, Shironee dan Showamanchi. Mereka akan mempersembahkan budaya permainan layang-layang dari kawasan masing-masing,” ujarnya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat festival edisi kelima di Bilik Mesyuarat Pejabat Residen di sini, semalam.

Dr Razali berkata, acara-acara lain seperti pameran layang-layang Jepun akan menjadi sebahagian daripada pengisian program, serta pameran oleh Muzium Layang-layang Pasir Gudang (Johor).

“Bengkel layang-layang peringkat antarabangsa yang akan dikendalikan oleh negara Jepun turut diadakan, termasuk pertandingan bengkel peringkat kebangsaan dan sekolah,” jelasnya.

Festival itu dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Sarawak melalui Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) sebagai urus setianya dengan kerjasama Pejabat Residen Bahagian Bintulu, Kementerian Pembangunan Bandar dan Pelanco-ngan Sarawak, Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) dan semua agensi-agensi utama di Bintulu.

“Tahun ini, tema festival adalah Layang-layang Merintis Keamanan atau ‘Kite For Peace’ yang sama seperti tema digunakan pada Festival Layang-layang Antarabangsa Pasir Gudang Ke-14 lalu dan Pesta Wau Antarabangsa Kelantan,” kata beliau.

“Ia bermaksud budaya permainan layang-layang melalui satu langit satu dunia (‘one sky one world’) telah berjaya menjalinkan persahabatan yang erat di kalangan peserta antarabangsa.”

Dr Razali berkata, pihaknya mensasarkan festival kali ini disertai oleh 95 peserta antarabangsa dari 25 buah negara iaitu Jepun, New Zealand, Australia, China, Taiwan, Korea Selatan, Jerman, England, Amerika Syarikat, Perancis, Indonesia, Singapura, Brunei, Thailand, Kemboja, Vietnam, Filipina, Austria, India, Lubnan, Sweden, dan empat buah negara baru iaitu Brazil, Itali, Kanada dan Afrika Selatan (Cape Town).

“Sasaran bagi penyertaan peserta kebangsaan pula ialah 180 orang membabitkan 12 negeri iaitu Sarawak, Johor, Kelantan, Terengganu, Perlis, Pahang, Perak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Selangor dan Kedah,” katanya sambil menambah, festival ini berkonsepkan persembahan, pertandingan, bengkel dan pameran.

Menurutnya lagi, peserta antarabangsa dan tempatan akan membuat pertunjukan layang-layang besar dan sederhana yang menggunakan tali sama ada ‘single,’ ‘double’ dan ‘quad.’

“Demonstrasi menerbangkan layang-layang pada waktu malam yang julung kali diadakan pada festival ini oleh peserta antarabangsa juga bakal menonjolkan layang-layang beraneka bentuk yang dilengkapi hiasan lampu warna-warni dan iringan ‘spot light’ dan muzik,” jelasnya.

Katanya lagi, peserta antarabangsa akan dibawa melawat Gua Niah dan rumah panjang sebagai sebahagian promosi untuk Negeri Sarawak di samping penganjuran ekspo dan pameran jualan.

Sementara itu, setiausaha jawatankuasa festival, Mohamed Ansari Mohd Syed Ahmad berkata, memandangkan festival tahun lepas disertai oleh ramai pelayang dari China, maka kerjasama dengan Persekutuan Persatuan Cina Berdaftar Bintulu akan dibuat seperti yang disarankan oleh Ahli Dewan Negara Senator Pau Chiong Ung untuk menarik minat dan membuka penyertaan lebih ramai pelayang dari kaum Cina dari seluruh negeri.

 

 


Untitled Document

Projek Gemilang